Institut Perguruan Keningau kini semakin pesat membangun

>> Friday, May 14, 2010

 

SEBELUM menjadi tapak gedung ilmu ia hanya dikenali sebagai Bukit Langsat yang masih diselubungi hutan dengan flora dan faunanya yang menjadi tumpuan unggas di udara dan haiwan yang melata di bumi.

Bukit ini juga menjadi kawasan memburu bagi penduduk di sekitarnya dan dikatakan pernah menjadi tempat persembunyian penduduk semasa perang dunia kedua dahulu.

Namun pada tahun 1982 bermulalah sejarah kewujudan Maktab Perguruan Keningau yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau apabila pembinaannya dilaksanakan di tapak seluas 40 hektar.

Usaha mendapatkan tanah yang menjadi tapak IPG ini adalah atas inisiatif Tan Sri Suffian Koroh anak watan daerah Keningau yang menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah pada ketika itu.

Pembinaan IPG Kampus Keningau yang merangkumi bangunan pentadbiran, dewan kuliah, asrama, flat kediaman pensyarah, dewan, kantin dan sebagainya yang menelan belanja RM 32 juta siap sepenuhnya pada tahun 1984.

Pada tahun 1988 IPG Kampus Keningau (Maktab Perguruan Keningau pada ketika itu) dirasmikan oleh Saudara Anwar bin Ibrahim, Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu.

IPG Kampus Keningau yang terletak daerah Keningau Pedalaman Sabah dapat dihubungi melalui jalan raya berturap sejauh 145 kilometer dari Kota Kinabalu menggunakan laluan Keningau – Tambunan – Kota Kinabalu dan laluan kedua jalan raya Keningau – Kimanis – Kota Kinabalu sejauh 100 kilometer. Jaraknya pula dari bandar Keningau hanya 4.5 kilometer.

Pengarah IPG Kampus Keningau Puan Lim Sai Kiow @ Penny Lim berkata, pengambilan sulung IPG ini bermula pada 4 Februari 1985 dengan kemasukan 236 pelatih yang telah mengikuti Kursus Perguruan Asas. Daripada jumlah itu 137 pelatih mengikuti Kursus Perguruan Sekolah Rendah Pengajian Melayu dan Kursus Perguruan Sekolah Rendah Pengajian Inggeris, 98 pelatih mengikuti Kursus Perguruan Sekolah Menengah Rendah Pengajian Melayu dan Sejarah, Pengajian Melayu dan Geografi, Pengajian Inggeris dan Geografi dan Pengajian Matematik dan Sains.

Katanya, dalam pengambilan sulung itu, 164 pelatih datangnya dari Sabah, 47 pelatih dari Semenanjung dan 23 pelatih dari Sarawak.

“Seperti juga IPG lain, IPG Kampus Keningau turut mengharungi arus perubahan sejak ia ditubuhkan dan kini ia turut mengendalikan pelbagai program kursus dan peringkat,” kata Penny semasa beucap pada sambutan jubli perak (ke 25 tahun) IPG Kampus Keningau pada 23 April lalu.

Penny berkata, memulakan pengajian dengan Kursus Perguruan Asas (KPA) peringkat sijil perguruan, diikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) pada tahun 1996, kini IPG ini mengendalikan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Kursus Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), Kursus Program Ijazah SarjanaMuda Perguruan (PISMP).

Selain itu katanya, Kursus Dalam Cuti (KDC) seperti j-QAF, LPBS-KDPM dan pertambahan bilangan kursus dan opsyen dari masa ke semasa juga seiring dengan pertambahan kemudahan dan penaiktarafan kemuahan yang sedia ada.

IPG Kampus Keningau kini mempunyai seramai 81 Pensyarah termasuk Pengarah dengan bilangan pelatih 797 orang.

Daripada jumlah itu seramai 484 pelatih penuh masa yang terbahagi kepada empat program iaitu Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPSIMP) dan Foundation TESL.

Sementara itu seramai 313 pelatih mengambil Kursus Dalam Cuti (KDC) juga terbahagi kepada empat program seperti KPLI – LPBS J-QAF, KPLI – KDC, Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) – KDC dan Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR).

Sehingga kini, IPG Kampus Keningau telah melatih 12,000 orang guru termasuklah Kursus Dalam Cuti dan Kursus Perkhidmatan Dalam Perkhidmatan.

Menurut Penny, guru-guru keluaran IPG pada hari ini bukan sahaja menjawat jawatan sebagai guru di sekolah di seluruh tanah air tetapi sebagai pegawai pendidikan di bahagian lain di kementerian, pegawai pendidikan daerah serta pensyarah IPG dan institut pendidikan awam.

Dari segi perkembangan dan pencapaian IPG Kampus Keningau yang sudah mencapai usia 25 tahun yang kini diterajui oleh Penny Lim sebagai Pengarah dan dibantu oleh Baharom bin Mohamad Noor sebagai Timbalan Pengarah dengan 80 pensyarah dan 83 staf sokongan.

IPG ini terus merangka pelbagai program seperti Projek Model Pensiangan – Salinatan yang wujud pada tahun 2004 atas kesedaran serta iltizam yang tinggi dalam menjana kecemerlangan pendidikan anak-anak di kawasan Pedalaman.

Kewujudan Projek Model Pensiangan – Salinatan ini adalah hasil cetusan idea daripada mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat, yang melawat Pensiangan dan Salinatan pada 29 Julai 2003.

Objektif awal projek ini ialah meningkatkan pengetahuan guru, meningkatkan kemahiran guru dalam mengendalikan pedagogi peribumi dan memupuk jati diri guru ke arah budaya kerja cemerlang.

Bertitik tolak dari Projek Model Pensiangan Salinatan ini maka kini wujudlah Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi dan Jabatan Pedagogi Peribumi Pedalaman di IPG Kampus Keningau pada tahun ini (2010).

Jabatan Pedagogi Peribumi Pedalaman peringkat IPG Kampus ini bertanggungjawab menyelaraskan program Pensiangan – Salinatan, Pedagogi Peribumi Pedalaman, Bahasa Dusun dan Sosiobudaya Pedalaman.

IPG Kampus Keningau yang melaksanakan sistem pengurusan berkualiti dianugerahkan sijil MS ISO 9002: 1994 pada bulan Jun 2002 dan pada bulan Jun 2004 dianugerahkan pula sijil MS ISO 9001:2000. Sehingga kini IPG ini melaksanakan sistem pengurusan berkualiti yang mematuhi standard MS ISO 2001:2008.

Selain itu, IPG ini juga telah mendapat pengiktirafan Anugerah Inovasi Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Projek Hari Bunga pada tahun 2000 dan pada tahun 2001 IPG ini terpilih sebagai pemenang tempat kedua dalam pertandingan Landskap peringkat negeri Sabah.

Dari segi pengurusan kewangan, IPG Kampus Keningau juga mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Kualiti Pemgurusan Kewangan dan Perakaunan kategori IPG/Kolej matrikulasi sempena Majlis Hari Kualiti KPM 2008 dan mendapat tempat ketiga.

IPG Kampus Keningau yang dahulunya dikenali Maktab Perguruan Keningau dan diterajui oleh tujuh orang Pengetua dan Pengarah yang dirintis oleh Jikal Gabie (sekarang Tuan Haji) dan diikuti oleh Tuan Haji Adenan bin Haji Wagimin, Aminah Haji Musally (sekarang Puan Hajah), Teresa Kinajil, Aron Hj. Warso, Jame Alip dan Puan Penny Lim yang meneruskan halatuju IPG sehingga mencapai usia 25 tahun, masih berpaut dengan slogan “Bersama Menjulang Kecemerlangan”.
13th May, 2010
Source: Sabah Times

0 comments:


My Visitors.

About This Blog

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP