Penulis pelbagai kaum dalam sastera

>> Monday, January 14, 2013


Penulis pelbagai kaum dalam sastera


Ahli panel terdiri daripada Jasni Matlani (kiri) Sabah, Wisnu Pamungkas, Jaya Ramba (Pengerusi), Abizai, Haji Firdaus Haji Nordin, Hasyuda Abadi dan Abang Haliman Abang Julai.

MIRI sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Simposium Penulis Pelbagai Kaum (SPPK) 2012. Acara yang berlangsung pada 21 hingga 22 Disember lalu itu disertai oleh sasterawan, budayawan, penulis serta pencinta sastera dan budaya dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia. Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) diberi kepercayaan menjadi penganjur bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan Pustaka Miri.

SPPK pertama telah diadakan pada tahun 1998 di Miri kemudian di beberapa tempat lain termasuk Kota Kinabalu dan Kuching. Simposium ini bertujuan mempertemukan penulis daripada pelbagai kaum yang menulis dalam bahasa Melayu dan bahasa etnik lain serta membincangkan karya-karya mereka pada era modenisasi yang penuh cabaran.
Selain itu untuk merangsang penglibatan generasi muda dalam kegiatan sastera sebagai wacana ilmu dan memperkasakan kesusasteraan kebangsaan adalah tanggungjawab semua kaum.

Malam Sulaman Perpaduan, malam perasmian SPPK 2012 yang diadakan di Hotel Imperial, Miri pada 21 Disember 2012 telah disempurnakan oleh Dennis Ngau Jok, ADUN Telang Usan, Sarawak.

Deklamasi dan nyanyian lagu puisi turut diselitkan untuk memeriahkan malam perasmian tersebut. Simposium ini membentangkan tujuh kertas kerja termasuk ucap utama oleh pemakalah dari Sarawak, DBP, Gapena dan Brunei. Pelbagai tema diketengahkan untuk dikongsi dengan peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Setiausaha Satu Gapena, Borhan Md. Zain dalam kertas kerjanya membentangkan tentang kesusasteraan kebangsaan yang berhubung kait dengan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Pautan antara kedua-dua ini tidak akan terpisah kerana kesusasteraan adalah pancaran sesuatu bahasa.

Tanpa mengira asal-usul etnik atau kaum, apabila menulis tentang kesusasteraan kebangsaan sudah semestinya karya tersebut dalam bahasa Melayu. Ini kerana kecenderungan dan pemikiran setiap penulis kesusasteraan kebangsaan tertumpu kepada penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa etnik sendiri digalakkan untuk menambah seri kesusasteraan kebangsaan.

Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya 80 bahasa yang dituturkan oleh pelbagai etnik menjadikan Malaysia satu masyarakat linguistik yang kompleks. Tidak kira apa bangsa dan bahasa yang dituturkan, bahasa Melayu yang diangkat menjadi bahasa kebangsaan digunakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Mengenai penulis pelbagai kaum, pertambahan jumlah penulis berbakat dari etnik lain di Malaysia memberi sinaran serta memeriahkan landasan perjalanan kesusasteraan kebangsaan. Ini perkembangan yang amat menggalakkan dalam dunia kesusasteraan.

Penulis pelbagai kaum di Sarawak seperti kaum Melayu, Melanau, Iban/Dayak, Bisaya, Orang Ulu, Cina dan lain-lain ramai yang telah berjaya menapakkan diri dalam arena kepengarangan sehingga ke peringkat nasional malah ke peringkat global. PUTERA sendiri misalnya mempunyai penulis hebat seperti Zainal Abidin Hj Suhaili (Abizai) dan Abang Median Abang Said dari kaum Melayu, Poul Nanggang dari kaum Bisaya, Jaya Ramba dari kaum Iban, David Belulok dari kaum Kiput, Jasni Matlani (Sabah), serta banyak lagi penulis-penulis yang lain.

Mereka adalah beberapa penulis yang terlibat dalam kesusasteraan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu dan bahasa etnik sendiri. Mereka juga pernah memenangi anugerah sastera seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Hadiah Sastera Penulis Sarawak (HSPS) di samping memenangi beberapa pertandingan lain.

Menurut Abang Patdeli Abang Muhi, dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan, generasi baharu Sarawak sudah semakin fasih dan bijak menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi dan karya kreatif.

Sarawak sebenarnya tidak ketandusan penulis yang lahir daripada pelbagai etnik. Setiap detik ada sahaja bakat baharu yang muncul dalam arena kesusasteraan kebangsaan. Apa yang perlu dilakukan adalah mengilap bakat serta mempertajamkan pemikiran agar bakat dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya.

Disebabkan keanekaragaman etnik yang terdapat di negara ini, penulis Sarawak sering memilih tema yang berlatarkan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak. Kecenderungan menulis tentang adat budaya sesuatu etnik nampak jelas dalam setiap karya yang dihasilkan. Dari itu sebelum memulakan langkah penulisan tentang sesuatu etnik, haruslah diselidiki atau dipelajari dahulu adat resam, kebudayaan atau apa sahaja yang bersangkut paut dengannya.

Ini untuk menghindari salah faham atau penentangan yang mungkin wujud terhadap karya yang dihasilkan. Untuk menjadi penulis yang berkualiti, sikap ambil tahu harus ditanam dalam jiwa.

Menurut Ja'afar Haji Hamdan pula, budaya dan sastera merupakan dua disiplin ilmu yang berbeza; namun mempunyai pertautan yang amat rapat serta saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Budaya wujud dengan penglibatan masyarakatnya manakala sastera terbentuk oleh peranan masyarakatnya. Maka, dalam budaya ada sastera dan dalam sastera ada budayanya.

"Kewujudan masyarakat minoriti berketurunan Siam perlu disedari khususnya dalam bidang bahasa dan persuratan kebangsaan. Kelahiran mereka dalam arena sastera kebangsaan tidaklah terlalu asing kerana persekitaran mereka memang bergaul mesra dengan masyarakat Melayu" begitulah yang dihujah oleh E Pian Pro Poul, penulis berketurunan Siam.

Dunia kepengarangan adalah salah satu saluran yang membolehkan setiap penulis menulis tentang kewujudan etnik, budaya serta adat resamnya. Dengan penulisan juga, seseorang penulis boleh melontarkan buah fikiran, kritikan atau apa sahaja yang bersangkut paut dengan persekitaran. Tanpa memilih kaum, bidang penulisan boleh diceburi oleh sesiapa sahaja yang berminat tanpa sekatan untuk memperkenal, mempertahan adat resam, kebudayaan atau bahasa masing-masing.

Selain daripada sesi pembentangan kertas kerja turut diadakan forum yang menampilkan enam ahli panel yang terdiri daripada Jasni Matlani (Gapena) Sabah, Hasyuda Abadi (Sabah), Abizai (Sarawak), Haji Firdaus OKK Haji Nordin (Brunei), Wisnu Pamungkas (Indonesia) dan Abang Haliman Abang Julai (DBP). Forum ini dipengerusikan oleh Jaya Ramba.

Penulis adalah Setiausaha Dua Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA).

Sources; Utusan Malaysia.



0 comments:


My Visitors.

About This Blog

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP