Tertimbus ketika mengaji

>> Tuesday, October 6, 2009



BUKIT di Kampung Lubuk Laweh Tandikek di Pariaman runtuh serta meranapkan lebih 50 rumah ketika gempa bumi minggu lalu.
30 kanak-kanak dalam masjid tak sempat selamatkan diri

PARIAMAN (SUMATERA BARAT): Kira-kira 30 kanak-kanak yang sedang mengaji al-Quran di sebuah masjid adalah antara lebih 200 orang yang terkorban akibat tanah runtuh yang melenyapkan Kampung Lubuk Laweh Tandikek di sini dalam gempa bumi, Rabu lalu.

Kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu tidak sempat menyelamatkan diri apabila sebahagian lereng Bukit Tandikek runtuh dan menimbus kampung kira-kira jam 6.30 petang.

Beberapa penduduk yang terselamat berkata, kanak-kanak terbabit mengikuti kelas pengajian al-Quran yang diajar imam kampung berkenaan pada setiap hari sehingga waktu Maghrib.

Norfadli Adi, 29, yang rumahnya terletak bersebelahan masjid berkenaan, berkata penduduk percaya kanak-kanak terbabit memasuki semula masjid itu tanpa menyedari tanah bukit berkenaan merekah akibat gempa, kira-kira sejam sebelumnya.

"Bukan saja mereka, malah semua penduduk tidak menyedari bukit itu akan runtuh selepas gempa bumi melanda.

"Disebabkan itu, semua kembali masuk ke rumah selepas gempa bumi reda tanpa menyedari ia sebenarnya mencetuskan bencana lain," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Rabu lalu, sebahagian bukit sepanjang kira-kira 1,000 meter itu runtuh selepas gempa bumi berkekuatan 7.6 Skala Ritcher menggegarkan Sumatera Barat.

Tanah dari bukit berkenaan yang membawa bersama pokok tumbang, melanda kampung itu dan melenyapkan keseluruhan kawasan berkenaan yang mempunyai lebih 50 rumah.

Hanya 15 penduduk kampung berkenaan sempat menyelamatkan diri manakala yang lain tertimbus dalam rumah masing-masing.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Anisa Zulherman, 13, berkata adik lelakinya, Iqbal, 10, yang mengaji bersama kanak-kanak lain di masjid berkenaan bagaimanapun sempat melompat keluar ketika runtuhan berlaku.

"Iqbal hanya memberitahu dia melompat keluar dari masjid ketika runtuhan berlaku tapi enggan bercerita lanjut, mungkin kerana trauma dengan kejadian itu," katanya.

Katanya, keluarganya termasuk Iqbal kemudian segera melarikan diri ke kawasan selamat kerana takut ada lagi tanah runtuh.

Gempa bumi Rabu lalu turut meruntuhkan satu-satunya jalan masuk ke kampung berkenaan menyebabkan penduduk yang selamat serta pasukan penyelamat perlu berjalan kaki mengikut laluan mendaki dan menuruni bukit di dalam hutan sejauh kira-kira lima kilometer untuk sampai ke sana.

Bantuan daripada pasukan bomba Indonesia hanya mulai tiba kelmarin dengan anggota yang sangat terhad, manakala pembabitan daripada tentera belum kelihatan.

Pasukan elit Smart Malaysia yang membuat tinjauan di kawasan itu semalam turut memulakan operasi mencari mayat yang tertimbus, namun tiada mangsa ditemui dan operasi akan disambung hari ini.

Sehingga kini, jentera berat belum dibawa masuk oleh kerajaan Indonesia menyebabkan usaha mencari mangsa sangat perlahan kerana tenaga manusia saja tidak memadai untuk menggali tanah tebal dan mengalihkan pokok besar yang tumbang.

Ramli Ali, 46, yang kehilangan 17 ahli keluarga termasuk ibunya yang mendiami lapan rumah di tengah kampung itu, berkata kebanyakan penduduk tidak dapat berbuat apa-apa tanpa bantuan jentera berat.

"Tanah sangat tebal dan kami tidak mampu menggali sendiri. Jentera berat perlu digunakan untuk menggali kawasan rumah sebelum kami boleh menggunakan cangkul mencari sendiri," katanya yang kesal kerana bantuan daripada kerajaan hanya ditumpukan di kawasan bandar.

Difahamkan, beberapa kampung lain berhampiran kawasan itu turut mengalami nasib sama dengan angka korban keseluruhan mencecah lebih 400 orang.

Oleh Ifwan Tun Tuah
bhnews@bharian.com.my

0 comments:

My Visitors.

About This Blog

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP