PM TERIMA ANUGERAH TERTINGGI ARAB SAUDI

>> Monday, January 18, 2010



RIYADH 17 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima anugerah tertinggi kerajaan Arab Saudi iaitu Anugerah Raja Abdulaziz Kelas Pertama, menyifatkan ia satu manifestasi hubungan yang sangat akrab antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri yang menerima anugerah berkenaan daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud di sini semalam berkata, ia juga melambangkan potensi yang amat besar untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang bukan sahaja dalam konteks kepentingan negara itu dan Malaysia tetapi bagi kepentingan ummah sejagat.

‘‘Saya mengucapkan ribuan terima kepada Raja Abdullah di atas anugerah ini. Ia merupakan sesuatu yang sangat istimewa,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi.

Anugerah itu yang dikenali sebagai King Abdulaziz Order Of Merit (1st Class) dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin negara yang memberikan sumbangan dalam merapatkan hubungan dengan Arab Saudi. Antara mereka yang pernah menerima anugerah tersebut ialah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dan Presiden AS, Barack Obama.

Menurut Najib, dalam pertemuan dengan Raja Abdullah, baginda sekali lagi melahirkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang pada pandangan baginda tidak pernah mewujudkan masalah.

Perdana Menteri berkata, selain itu beliau dan Raja Arab Saudi tersebut turut berbincang mengenai usaha baginda berhubung dialog antara pelbagai agama dan inisiatif ini sudah pun dilaksanakan di beberapa tempat termasuk di Sepanyol, New York dan kini sebuah pusat akan beroperasi di Vienna tidak lama lagi.

‘‘Saya sudah menyatakan bahawa dalam program seperti itu, Malaysia berminat untuk menyertainya ke arah memupuk kefahaman yang lebih mendalam tentang Islam dalam konteks hubungan dengan pelbagai agama lain,” katanya.

Najib turut mengambil kesempatan melahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi berhubung peluang ekonomi dan perniagaan yang telah diberikan kepada syarikat dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, penyertaan syarikat Malaysia dalam melaksanakan dua projek mega di Shuhaiba dan bandar ekonomi Jizan sebelum ini sudah menjadi contoh bagaimana peluang yang sangat besar dapat dipenuhi dan direalisasikan oleh syarikat-syarikat Malaysia di Arab Saudi.

‘‘Di samping itu, saya juga telah menyatakan bahawa kami menghargai hasrat syarikat dan pihak berkuasa Arab Saudi untuk melabur di Malaysia bagi meningkatkan pelaburan yang boleh mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara,” kata Najib.

Pada sidang akhbar itu juga, Najib turut memberitahu, perkara lain yang turut dibincangkan dengan Raja Abdullah adalah berkaitan perkembangan di Afghanistan.

‘‘ Dalam isu memerangi keganasan, kita bersetuju betapa penting kedua-dua negara mengeratkan kerjasama untuk membanteras sebarang bentuk keganasan. Sehubungan itu, baginda berminat supaya satu bentuk persefahaman formal akan ditandatangani antara Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.

Zulkiflee Bakar

0 comments:

My Visitors.

About This Blog

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP