Berita gembira buat 77,600 pesara

>> Saturday, December 13, 2008


Pak Lah

KUALA LUMPUR: Pemberian pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan pada 1 Januari depan kepada pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun, disambut gembira 77,600 pesara kerajaan di seluruh negara. Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai nasib pesara walaupun tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan, amat dihargai. “Sebelum ini, ramai pesara hidup di bawah paras kemiskinan. Yang lebih teruk, kita ada seramai 1,125 orang pesara yang mendapat pencen di bawah RM285 sebulan. Jadi, bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan jumlah pencen sebanyak itu, nak bayar rumah pun tak lepas,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas Bajet 2009 yang dibentangkan Abdullah di Parlimen hari ini.

Wan Mahmood berkata mengikut statistik, jumlah pendapatan yang kurang daripada RM569 di Semenanjung Malaysia dikategorikan sebagai di bawah paras kemiskinan manakala bagi Sarawak pula, kurang daripada RM650 dan Sabah, RM680. Berdasarkan perangkaan itu, jumlah pesara yang termasuk dalam kategori di bawah paras kemiskinan ialah 70,000 orang. “Oleh itu, dengan kenaikan jumlah pencen itu, ia diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada pesara. Kita ucap terima kasihlah kepada Perdana Menteri kerana mendengar rintihan kami yang pernah mencurah bakti untuk membangunkan negara suatu masa dulu,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Kelantan, Hashim Bani Abdul Hamid berkata kenaikan itu adalah berita gembira kepada kira-kira 10,000 pesara kerajaan yang hidup di bawah paras kemiskinan di seluruh Kelantan. “Syukurlah, saya merasa amat bangga dan gembira kerana kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang prihatin terhadap nasib semua golongan, sekurang-kurangnya terlepaslah mereka daripada garis kemiskinan,” katanya. Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nik Mohd Kamil Nik Daud berkata di ibu negara juga sebelum ini terdapat pesara menerima jumlah pencen terlalu rendah dan menghadapi kesukaran menampung perbelanjaan seharian. “Mereka ini ada yang terima pencen antara RM200 dan RM300. Dengan jumlah yang sedikit itu tentu tidak mampu menampung kos sara hidup di bandar raya, kita sangat hargai pemberian ini,” katanya. - Bernama

0 comments:

My Visitors.

About This Blog

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP