Insentif galak bumiputera sertai industri burung walet

>> Monday, January 14, 2013



KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melaksanakan pelbagai insentif bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera dalam industri sarang burung walet.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, pengusaha sarang burung walet yang layak boleh memohon insentif sebanyak RM10,000 menerusi program Azam Tani dan sebanyak RM30,000 melalui program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Jelas beliau, kementerian turut menyediakan khidmat nasihat dan latihan teknikal dalam pembangunan premis dan amalan ladang baik.

“Pengusaha juga digalakkan menyertai program usahasama penyelidikan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bertujuan meningkatkan pengeluaran dan kualiti serta produk sarang burung walet," katanya menjawab soalan Senator Mohd. Khalid Ahmad dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau memberitahu, setakat ini, kira-kira 20 peratus daripada 50,000 premis sarang burung walet yang diusahakan di negara ini dikendalikan oleh usahawan bumiputera.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Syed Shahir Syed Mohamud tentang langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi kesan perubahan cuaca ke atas pengeluaran hasil pertanian, kata Mohd. Johari, salah satu inisiatif kementerian adalah menghasilkan pelbagai tanaman dengan tempoh matang singkat dan mempunyai daya tahan terhadap kemarau.
“Perkhidmatan veterinar turut dipertingkatkan dan penyakit ternakan dipantau semasa musim panas selain memastikan makanan ternakan sentiasa tersedia menerusi pemuliharaan foder," ujarnya.

Menurut beliau, langkah-langkah lain yang dilaksanakan termasuk meningkatkan keupayaan tanah untuk menyimpan air dan bahan organik, pengurusan pengairan yang lebih cekap dan amalan pertanian baik.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

My Visitors.

About This Blog

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP