MAMPUKAH PEGUAM NEGARA BELA MICHAEL CHIA?

>> Wednesday, May 11, 2011

BUDDY... Hubungan akrab Michael Chia (kanan) dengan Richard Barnes sentiasa kukuh bagi melindungi kegiatan jenayah mereka di Hong Kong.

KETIKA Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dihujani pelbagai isu yang mencabar kredibiliti beliau, terutama kemelut dengan Panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ‘Lelaki Terkaya di Malaysia’ Michael Chia Tien Foh masih bergantung tali hayat dengan Jabatan Peguam Negara dalam Skandal Penggubahan Wang Haram di Hong Kong dan Kes Rasuah di Sabah yang akan disambung lagi selama dua hari mulai hari ini dan esok (13 hingga 14 Januari 2011).

Michael Chia yang memperdaya seorang usahawan tempatan, Datuk Agus Hassan Tan berhubung Skandal Peluamas yang melibatkan nama UMNO Sabah terpalit untuk mendapatkan suapan sejumlah RM3 juta; masih berjaya mengheret Ketua Menteri Sabah, merangkap Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman sehingga tidak menyambung kontrak Mohd Daud Tampokong sebagai Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah.

Pemberhentian Daud sebagai orang paling berkuasa di Yayasan Sabah sedikit sebanyak akan menyebabkan perbicaraan kes berkenaan terganggu kerana Daud menjadi saksi utama yang melibatkan kes rasuah tersebut disebabkan hubungan langsung dengan tertuduh, Michael Chia, yang diperkenalkan Daud sebagai Juruperunding dan Agen Yayasan Sabah bagi semua konsesi di Yayasan Sabah.

Akibatnya, Yayasan Sabah terpaksa menubuhkan Panel Khas untuk mentadbir urus yayasan berkenaan yang terdiri daripada Mohd Hatta Jaafar, Andrew Garcia, Robie Makajil dan Esther Lee.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Peguam Negara telah mengarahkan Timbalan Pendakwaraya, Kevin Morrais melalui telefon agar memaklumkan kepada Hakim Elsie Primus untuk menangguhkan perbicaraan tersebut kerana salah seorang saksi penting, Chong Shak Nyen ingin meminda keterangannya; sedangkan saksi berkenaan tidak tahu menahu dan tidak ada membuat sebarang permohonan; sehingga statusnya sebagai saksi kini akan dijadikan sebagai salah seorang ‘Defendan’.

Dikhabarkan Gani gagal membantu Michael Chia dalam kes Penggubahan Wang Haram di Hong Kong baru-baru ini sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) berjaya mendapat perintah mahkamah untuk membekukan wang sejumlah RM430 juta, tidak termasuk RM16 juta yang dirampas di Lapangan Terbang Cek Lap Kok pada 14 Ogos 2008.

Usaha untuk menentang ICAC di mahkamah Hong Kong ternyata gagal kerana tidak ada sebarang pihak muncul mewakili Michael Chia, setelah ada pihak yang berkepentingan bimbang akan menyebabkan pembangkang mempergunakan isu berkenaan pada pilihanraya kecil Batu Sapi.

Usaha untuk mencairkan RM446 juta berkenaan masih terus dilakukan termasuk untuk menggunakan pengakuan palsu Kerajaan Malaysia bahawa wang tersebut adalah wang parti, namun masih menemui jalan buntu setelah jet peribadi yang membawa Michael Chia ke Hong Kong berjaya dipintas ketika operasi besar-besaran menangkap mereka yang terlibat dengan Skandal Penggubahan Wang Haram di Hong Kong sedikit masa lalu.

   Musa (KM) Sabah bersalaman dengan Michael Chia

Berjayakah Michael Chia terus berselindung di sebalik nama Musa Aman dan menggantung tali hayat kepada Gani Patail? Jawapannya hanya diketahui Richard Christopher Barnes yang menjadi Pemegang Amanah bagi semua wang yang disimpan di Hong Kong and Shanghai Bank di Central Hong Kong!

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI
Sources : Sabahkini.net.

1 comments:

akiklawon May 11, 2011 at 8:19 AM  

Minta Peguam Negara selesaikan kes ini dengan secepat mungkin, sebelum PRU13. Rakyat Sabah ingin tahu siapa kah dalang yang sebenarnya, meskipun rakyat Sabah sudah tahu dalang disebalik tabir lebih awal lagi.


My Visitors.

About This Blog

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP